makan kenduri
Lazimnya, apabila dibincangkan tentang kenduri kahwin, perkara pertama dan utamanya ialah harga, dan menu. Akan tetapi ada 3 perkara wajib anda bincangkan tetapi kerap dilupakan.

1. Jumlah Pelayan/Pramusaji

Jangan terkejut pada hari majlis perkahwinan anda apabila melihat jumlah pelayan yang anda rasakan tidak cukup.

Jika anda memilih katerer yang harganya rendah, antara cara mengurangkan kos ialah dengan mengurangkan kakitangan yang melayan tetamu, mengemas meja, menambah lauk dan lain-lain. Banyak katerer yang menyediakan hanya 3 orang pelayan untuk 500 tetamu. Ia tidak cukup!

Kerana jumlah pramusaji yang sedikit, tetamu anda mungkin perlu makan dengan meja yang dipenuhi sisa makanan dan pinggan mangkuk. Atau lebih teruk dari itu, ahli keluarga anda mungkin terpaksa membantu mengemas meja kerana tetamu semakin ramai, dan meja dan kerusi bersepah dengan makanan.

Jadi sebelum membuat tempahan katering, ketahui berapa orang pramusaji yang bakal datang. Untuk majlis 1,000 orang contohnya, anda perlukan sekurang-kurangnya 10 orang pramusaji yang pantas.

2. Apa yang akan dibuat jika tetamu melebihi tempahan?

Perkara ini kadangkala terjadi. Akan tetapi amat jarang dibincangkan. Akibatnya apabila tetamu melebihi jumlah yang ditempah, tetamu pulang dengan perut lapar atau keluarga pengantin kelam kabut kerana pihak katering lepas tangan.

Bincang dengan katerer anda apa yang akan mereka lakukan jika ini terjadi. Sebuah katerer yang baik biasanya mempunyai back-up makanan. Contohnya jika anda menempah untuk 1000 tetamu, mereka menyediakan makanan untuk sehingga 1200 atau 1300 tetamu, dan jumlah lebihan ini tidak dikenakan charge tambahan.

Akan tetapi bagi kebanyakan katerer bajet, mereka hanya menyediakan jumlah cukup-cukup sahaja dan terpulang pada tuan rumah untuk menguruskannya apabila ianya lebih dari tempahan.

Pastikan anda tahu apa yang akan dibuat pihak katering jika perkara yang tidak diingini berlaku. Akan tetapi jika katerer anda berpengalaman, sebelum kekurangan juadah terjadi, mereka akan memberitahu anda 1 jam awal agar makanan tambahan dari restoran berdekatan dapat dibeli.

3.Jumlah Khemah dan Meja Kerusi Yang Mencukupi

Perkara ini selalunya hanya dibincangkan dengan syarikat penyedia khemah. Akan tetapi, pihak katerer yang baik sebenarnya lebih berpengalaman dalam menganggarkan jumlah khemah yang diperlukan.

Banyak terjadi dimana makanannya enak. Tetapi khemah dan meja tidak mencukupi sehingga tetamu yang hadir terpaksa berdiri berjam-jam dengan makanan di tangan, dan anak-anak kecil merengek kerana tiada meja dan kerusi yang kosong.

Anda perlu tahu yang selain untuk tetamu, anda juga mungkin perlukan khemah khas untuk pengantin dan rombongan pengantin (tetamu vip) serta pihak katering. Ini sahaja sudah mengambil 2 khemah.

Tanya mereka yang berpengalaman (seperti katerer anda) akan anggaran jumlah yang sesuai. Ringankan mulut, cuba bertanya dan berbincanglah dengan ahli keluarga anda untuk mendapat kata sepakat.

Apa yang penting, tuliskan 3 perkara wajib tanya ini dan lihat respon katerer anda. Katerer yang berpengalaman tidak akan ada masalah untuk menjawabnya.

photo credit: #AliKawen Part 2 via photopin (license)

3 Benda Wajib Tanya Pada Pemilik Katering