nikah

1. Tidak Merasakan Urusan Katering Penting

Ramai pengantin menyerahkan urusan katering kepada ibu dan ayah atau pakcik makcik, manakala mereka hanya berminat dengan urusan memilih pelamin, baju dan hiasan.

Hanya setelah bajet untuk pelamin, hantaran dan lain-lain dibuat, barulah bajet untuk kenduri dibincangkan. Ini menyebabkan bajet untuk makanan menjadi kecil.

Apabila ini terjadi, fokus anda kini ialah mencari penyedia makanan dengan harga termurah. Akibatnya walaupun majlis kelihatan hebat dengan hiasan bergemerlapan dan hantaran yang mahal, di khemah tetamu yang tidak terurus, ianya majlis yang mengecewakan.

Bukan apa, tetamu anda terpaksa menunggu lama untuk meja dikemas dan lauk sudah habis biarpun ianya belum pukul 12 tengah hari lagi.

2. Lambat Menempah Katering

Ramai yang menyangkakan bahawa 2 bulan sebelum majlis perkahwinan cukup untuk mencari katerer.

Sebenarnya tidak. Jika majlis anda dibuat pada musim cuti sekolah, buat survey untuk memilih katerer sekurang-kurangnya 5 bulan sebelum majlis. Ini kerana jumlah katerer terhad, manakala jumlah majlis pada waktu itu padat. Anda mungkin terlepas katerer yang terkenal atau baik kerana mereka ini lazimnya telah ditempah awal.

Sebelum anda membuat survey harga, pastikan tarikh majlis anda juga telah ditetapkan. Tidak guna anda bersetuju dengan harga dan menu, tetapi akhirnya bila menelefon kembali katerer anda, mereka pula yang tidak dapat membantu kerana tarikh anda jatuh pada tarikh majlis lain.

3.Tidak Mengunjungi Premis Katerer

Premis katerer mencerminkan banyak tentang servis yang bakal anda dapat. Jadi jika boleh, jumpa katerer anda di premis mereka.

Dari sini anda boleh lihat kebersihan tempat dan alatan memasak. Anda juga mungkin ingin berjumpa di tempat tinggal mereka. Ini penting kerana sekurang-kurangnya anda tahu di mana mereka berada. Walaupun cerita katerer lari semakin jarang didengar, ia masih lagi terjadi.

Jadi pastikan anda kunjungi mereka atau sekurang-kurangnya tahu di mana mereka berada.

Memilih penyedia makanan untuk tetamu bukan perkara main-main. Ia melibatkan wang yang banyak dan ia merupakan separuh dari majlis anda. Jadi beri perhatian lebih terhadap pemilihan katerer yang baik.

Jika ianya tepat, insyaallah majlis anda bakal lebih lancar dan meriah.

Photo credit: P6039818 via photopin (license)

3 Kesilapan Bakal Pengantin Dalam Memilih Katering