inah

Kami Bermula Dari Zaman Remaja

Encik Fitri telah bersama katering Pak Talib sewaktu beliau berumur 15 tahun. Sewaktu di Tingkatan 3 beliau telah pun menjadi pramusaji sambilan dan pekerja rencah sewaktu cuti hujung minggu.

Puan Nita Hertina pula bermula dengan katering Pak Talib sewaktu berumur 17 tahun. Sebelum itu, beliau pernah bekerja di kedai-kedai masak sekitar Ipoh sebagai pekerja rencah, pemotong sayur dan pencuci pinggan.

Datang dari keluarga susah, menjadi lazim bagi adik beradiknya untuk mula bekerja di waktu muda pada waktu malam dan hujung minggu.

Mengenali Bisnes Katering

Apabila diterima masuk sebagai pekerja rencah, Puan Nita hanya disuruh memotong bawang, membersihkan ayam dan juga sayur.

Hanya selepas beliau menunjukkan minat dan kesungguhan belajar, beliau diajar memasak lauk ringkas dan mudah seperti kari daging dan ayam masak merah. Itupun bagi majlis kecil seperti 50 ke 100 tetamu, dan beliau diajar sepenuhnya oleh Pak Talib.

Apabila meningkat umur 22 tahun, beliau akhirnya diajar masakan utama katering Pak Talib iaitu Rendang Tok dan Rendang Dendeng.

Setahun kemudian, beliau diberi tanggungjawab untuk mengendalikan soal pembayaran dan penerimaan wang katering, pembelian barang-barang masakan, mengatur pramusaji, jadual pekerja sehinggalah kepada soal masakan. Namun ianya masih di dalam pengawasan dan tunjuk ajar Pak Talib.

Bersama Pak Talib, beliau belajar cara pengelolaan makanan dari kenduri kesyukuran di rumah sehinggalah majlis rasmi besar di SUK Perak dan majlis perkahwinan VIP di hotel-hotel besar di Ipoh.

2 tahun selepas diberi tanggungjawab ini, Pak Talib jatuh sakit. Beliau akhirnya melepaskan semua tanggungjawab katering kepada Puan Nita. Beliau hanya datang melawat dapur untuk melihat dan merasa masakan sebelum dihantar kepada tetamu.

Pada tahun 2013, sewaktu berumur 74 tahun, bekas tukang masak istana Perak, Pak Talib menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Lahirnya Katering Warisan Pak Talib

Pada ketika ini, Puan Nita dan Encik Fitri telahpun mengikat ikatan rumahtangga. Kedua-duanya akhirnya mengambil keputusan untuk meneruskan legasi Pak Talib dengan membuka katering yang bernama Katering Warisan Pak Talib.

Dengan pengalaman yang telah ada dan berbekalkan pekerja-pekerja Pak Talib yang bersetuju mengikuti mereka, suami isteri ini mula mengorak langkah untuk menaikkan nama Pak Talib dengan juadah rendang tok dan rendang dendeng beliau.

Pengalaman Pahit Manis

Antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan Puan Nita ialah apabila dimarah teruk oleh Pak Talib hanya kerana potongan timun untuk masakan pecal beliau sedikit tebal. Beliau dimarah dengan keras sehingga menyebabkan beliau hampir mengambil keputusan untuk berhenti.

Selain itu, beliau juga tidak dapat melupakan kesibukan waktu bersama Pak Talib di mana ada hari katering Pak Talib menguruskan sehingga 5 katering besar sekaligus.

Pengalaman suka duka ini walaubagaimanapun mematangkan dan memberi banyak pengalaman untuk beliau dan suami mengharungi alam perniagaan.

Jika tiada susah dan marah, tiadalah mereka sampai ke tahap sekarang ini.

Bak kata pepatah, berakit-rakit dahulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.