kenduri
Jika anda hanya menempah katerer dan tidak menempah pakej penuh, anda perlu menguruskan perkara remeh temeh tetapi amat penting seperti kerusi meja dan lain-lain.

Berikut kami turunkan perkara yang sering dilupakan oleh ramai bakal pengantin dan kaum keluarga.

1. Meja Buffet Tidak Ditempah

Bila anda menempah sendiri khemah, kerusi dan meja untuk majlis anda, pastikan juga anda menempah meja buffet.

Ramai menyangka yang meja buffet dibawa oleh pihak katering. Tapi tidak. Pihak katerer anda hanya menyediakan makanan, manakala tuan rumah perlu menyediakan bukan sahaja meja untuk tetamu, tetapi juga meja untuk pihak katerer meletakkan makanan.

Lazimnya anda perlu menyediakan 2 lane untuk meletakkan makanan. Tanya katerer anda berapa banyak meja panjang yang mereka perlukan. Dan tanya juga berapa meja yang mereka perlukan untuk meletak barang-barang mereka di khemah yang anda sediakan khas untuk mereka.

2. Tiada Khemah Katerer

Katerer anda memerlukan tempat teduh untuk memunggah dan menyediakan makanan, menyusun pinggan mangkuk serta memasak (sesetengah katerer seperti kami akan memasak ayam di tempat kenduri agar ianya kekal panas). Jadi mereka perlukan sekurang-kurangnya 1 khemah khas.

Khemah ini lazimnya hampir dengan kawasan yang mempunyai bekalan air dan parit agar semua urusan katering – dari penyediaan minuman sehingga proses memasak dapat dibuat dengan jayanya.

Berbincanglah dengan katerer anda akan lokasi yang sesuai untuk khemah mereka. Tanpa khemah, majlis mungkin boleh berjalan lancar. Akan tetapi dengan cuaca panas, atau kawasan yang sempit, anda menyukarkan mereka menjayakan majlis dengan cara yang paling baik.

3. Alas Meja

Ramai juga menyangka yang apabila tempahan makanan dibuat, ia datang dengan alas meja daripada pihak katerer. Silap tu!

Alas meja adalah dibawah tanggungjawab tukang khemah anda. Ini kerana alas ini perlu bersesuaian dengan tema majlis atau khemah anda. Dan pihak yang mempunyai alas meja ialah syarikat khemah dan bukan katerer.

Kos untuk khemah bukan sahaja perlu dikira kepada kos khemah – akan tetapi tanyakan harga full set – iaitu khemah, kerusi, meja, alas kerusi beserta reben dan alas meja. Ramai yang hanya bertanyakan harga khemah – dan tidak sedar harga khemah sahaja tidak termasuk kerusi, meja dan lain-lain lagi seperti alas.

Oleh sebab ini, rancanglah baik-baik. Anda tidak mahu majlis anda gah dengan pelaminnya, tetapi tetamu makan di atas meja kayu tanpa alas.

Kami cukup berharap yang anda sedar dengan perkara-perkara di atas. Ia nampak kecil. Akan tetapi ia pasti mencacatkan majlis atau menyebabkan anda tidak senang duduk pada hari majlis berlangsung.

Jika anda risau, tanyakan sahaja jika katerer anda atau juru runding perkahwinan anda boleh menguruskan semua ini untuk anda. Ia jauh lebih mudah.

photo credit: Khairul Izwan Wedding @ Bukit Jelutong via photopin (license)

Tak Perasan! 3 Perkara Yang Selalu Dilupakan Oleh Tuan Rumah Majlis Kahwin